Puisi Lelangit Hati III

Puisi Lelangit Hati III
Karya: Aisha Ardini



Bertemankan renyai si hujan di pinggir malam,
Diselimuti dingin si bayu membaluti tubuh,
Disaksikan cahaya si bulan dan gemerlapan si bintang,
Disalurkan segala rasa pada si pena,
Terukir bicara menjadi tinta

Sesungguhnya aku tiada mengerti,
Ribuan persoalan menerjah hati,
Tertusuk rasa menagih jawapan,
Apa yang tertulis tiada sama dengan yang dipandang?
Sungguh apa khilafnya kisah ini,
Lemahnya si penulis atau si pemerhati,
Andai empunya pena serba kekurangan,
Namun ia hanyalah satu permulaan,
Akan suburnya ia diiringi masa,
Kelak nanti kau kan lihat segala

Pelbagai bicara kau lontarkan,
Tiada bernama tiada bertuan,
Batu dilempar tangan disorokkan,
Andai benar kau mahukan jawapan,
Tonjolkan tuan, agar tiada yang bukan-bukan!

Segala apa yang telah berlalu,
Biarkanlah ia diseret bayu,
Jangan dibayangkan kisah itu,
Jangan ditayangkan satu persatu
Layarkan ia meninggalkan waktu,
Agar akhirnya kau tersenyum merdu,
Tanpa tangisan, tanpa sendu

Wahai empunya diri,
Bermulanya jejakmu hari ini.
Ke hadapan mencari kejayaan hakiki,
Mohonku agar semuanya dipermudahkan Ilahi


Aisha Ardini
Www.AishaArdini.Com
1-4 Julai 2011
7.48pm


.